Jenis-Jenis Durian Malaysia (Paling Popular)

Buah berduri yang diberi jolokan “Raja Segala Buah” menjadi kebanggaan segenab rakyat Malaysia kerana ia menjadi identiti masyarakat di Nusantara. Malah, ada yang tanpa segan silu mengatakan, “kalau tak makan durian, maka bukan rakyat Malaysia sejati”. Berdasarkan bancian yang dijalankan oleh MARDI pada 2006 mendapati, daripada 1098 responden yang diajukan soalan, 96% menggemari durian.

Untuk pengetahuan anda, terdapat lebih daripada 200 klon durian yang berdaftar di bawah Jabatan Pertanian Malaysia dan banyak lagi yang masih belum berdaftar. Kami telah mengambil inisiatif untuk mengumpulkan senarai Jenis Durian terbaik dan paling popular di Malaysia untuk memudahkan anda membuat pilihan mengikut citarasa anda.

Jenis Durian #1 Musang King

Name Musang King / Raja Kunyit / Mau Shan Wang / Cat Mountain King
Kod D197
Tarikh Pendaftaran 9 Disember 1993
Asal Usul Wee Chong Beng, Tanah Merah, Kelantan

Durian Musang King disepakati oleh hampir segenap masyarakat tanahair sebagai jenis durian terbaik di Malaysia. Kulitnya berbentuk bujur melonjong dan mempunyai kulit berwarna hijau terang. Isinya tebal, berwarna kuning keemasan, sangat licin dengan sedikit atau tanpa serat. Teksturnya yang melekit dan berkrim serta mempunyai rasa manis dan pahit. Ia boleh dikatakan sebagai jenis durian yang paling popular pada ketika ini. Fakta menarik tentang perkataan “musang” yang terdapat pada nama jenis durian ini bukan merujuk kepada haiwan musang tetapi tetapi sebaliknya mendapat nama daripada wilayah “Gua Musang” di mana klon ini mula-mula ditanam dan menjadi sangat popular di kalangan pengusaha durian di kawasan tersebut.

Ketahui lebih banyak tentang Durian Musang King

Jenis Durian #2 D24

Name D24 / Sultan Durian
Kod D24
Tarikh Pendaftaran 30 November 1937
Asal Usul Empangan Bukit Merah, Perak

Durian D24 merupakan salah satu jenis durian yang lebih popular di Malaysia. Kulitnya berbentuk bujur, berkulit nipis dan berwarna hijau muda serta mempunyai saiz sederhana besar. Isinya pula berwarna kuning pucat serta rasanya lemak berkrim dan sedikit pahit. Oleh kerana Durian D24 adalah jenis durian yang popular dan ditanam secara meluas, terdapat beberapa jenis gred dan juga sub-kategori.

Ketahui lebih banyak tentang Durian D24

Jenis Durian #3 Tekka

Name Tekka / Buluh Bawah / Musang Queen
Kod D160
Tarikh Pendaftaran 30 Jun 1987
Asal Usul Lim Hai Chua, Banting, Selangor

Jika anda benar-benar seorang “kaki durian”, anda perlu mencuba Durian Tekka yang jarang sekali ditemui. Kulitnya berbentuk bulat lonjong di mana bahagian atasnya sangat besar manakala bahagian bawahnya menguncup serta mempunyai lekuk pada bahagian kulit sebelah dalam. Isinya tebal, mempunyai tekstur yang halus pekat dan berwarna krim kekuningan tetapi agak pucat jika dibandingkan dengan Durian Musang King tetapi rasanya mampu menandingi raja durian tersebut. Seperti kebanyakan durian premium yang lain, ia mempunyai rasa lemak, manis, pahit dan bergas. Selain itu, Durian Tekka memiliki aroma atau bau yang agak kuat di mana ini mungkin kurang menyenangkan bagi mereka yang kali pertama ingin mencuba durian jenis ini.

Ketahui lebih banyak tentang Durian Tekka

Jenis Durian #4 Udang Merah

Name Udang Merah / Red Prawn / Hong Xia / Ang Hay
Kod D175
Tarikh Pendaftaran 4 Jun 1990
Asal Usul Balik Pulau, Pulau Pinang

Jika anda menggemari durian manis, Durian Udang Merah adalah jenis durian yang sesuai untuk anda. Kulitnya berbentuk bujur seperti bola ragbi, berwarna perang gelap, mempunyai duri yang kecil dan berjarak serta sukar untuk dikopek. Warna isinya adalah kuning jingga kemerahan dan berbentuk melengkung seperti bentuk udang merah di mana nama durian ini diambil sempena hidangan laut tersebut. Tekstur isinya cantik berkrim tetapi seringkali terlalu berair, lembik dan melekit. Ia mempunyai rasa lemak manis yang menyelerakan di mana ini menjadi faktor utama Durian Udang Merah tergolong di antara jenis durian termahal di Malaysia.

Ketahui lebih banyak tentang Durian Udang Merah

Jenis Durian #5 Duri Hitam

Name Duri Hitam / Black Thorn / Ochee / Hei Tze
Kod D200
Tarikh Pendaftaran 15 Ogos 2012
Asal Usul Leow Cheok Kiang, Pulau Pinang

Durian Duri Hitam adalah jenis durian yang amat diidam-idamkan dan bernilai di kalangan “hantu durian”. Malah harganya juga dikatakan lebih mahal berbanding Durian Musang King. Ia mempunyai betuk bulat seperti labu dan mempunyai kuilt berwarna hijau kelabu. Terdapat dua teori bagaimana durian ini mendapat namanya iaitu melalui warna hujung durinya atau satu tangkai yang terdapat pada bahagian bawah kulit. Jenis durian paling mahal ini mempunyai rasa berlemak manis, berkrim dengan sedikit rasa pahit seolah-olah gabungan di antara Musang King dan XO. Isinya pula agak tebal dan lebih ringan dari segi struktur. Selain rasanya yang unik, ia mempunyai aroma yang menyelerakan, wangi dan tidak tajam.

Ketahui lebih banyak tentang Durian Duri Hitam

Jenis Durian #6 IOI

Name IOI / Mas Hjh Hasmah / Mas Muar
Kod D168
Tarikh Pendaftaran 24 Mei 1989
Asal Usul Hjh.Hasmah Hj.Hashim, Muar, Johor

Durian IOI mempunyai saiz sederhana, berbentuk bulat, kulit berwarna hijau perang dan bertangkai kontot. Di antara keunikan jenis durian ini adalah ia mudah untuk dikopek. Isinya berwarna jingga kekuningan dengan ketebalan sederhana. Ia mempunyai rasa lemak manis dengan sedikit rasa pahit hampir sama seperti rasa Durian Musang King serta mengeluarkan aroma yang kuat apabila memakannya.

Ketahui lebih banyak tentang Durian IOI

Jenis Durian #7 XO

Name Durian XO
Kod N/A
Tarikh Pendaftaran N/A
Asal Usul Pahang, Johor

Hasil kajian kami gagal mendapati kod pendaftaran dan tarikh pendaftaran bagi baka durian ini. Terdapat kemungkinan bahawa durian ini adalah hasil variasi daripada baka Durian D24 walaupun ia tidak dapat disahihkan. Jika anda menyukai durian dengan rasa yang kuat dan pahit, Durian XO adalah pilihan terbaik untuk anda. Ia bukan sahaja pahit, malah terkenal dengan rasa yang memabukkan dan bergas akibat berlakunya proses fermentasi atau penapaian ketika isinya berada di dalam kulit untuk tempoh masa yang panjang. Durian XO biasanya berbentuk bulat atau kadangkala seperti bentuk belimbing dan kulitnya berwarna hijau keperangan. Durinya pula agak panjang dan meruncing dengan hujung berwarna perang. Isinya berwarna kuning pucat dan mempunyai ciri-ciri seperti melekit, sangat lembut, tebal berair.

Ketahui lebih banyak tentang Durian XO

Jenis Durian #8 Golden Phoenix

Name Golden Phoenix / Jin Feng / Kim Hong
Kod D198
Tarikh Pendaftaran 13 Mac 2013
Asal Usul Tan Sue Seng, Batu Pahat, Johor

Durian Golden Phoenix adalah pilihan alternatif bagi Durian Musang King kerana harganya yang lebih murah. Buahnya bersaiz kecil dan mempunyai banyak isi dengan biji yang kecil dan kulit yang nipis. Ia mempunyai variasi warna kulit daripada hijau cair hingga coklat keperangan. Rasa Durian Golden Phoenix adalah manis, pahit, berkrim, berair dan kurang tengik berbanding Musang King. Sepertimana Durian XO, ia mempunyai warna yang pucat, lembut dan berair. Ia dianggap jenis durian yang ‘berbaloi dengan nilai’ kerana anda mendapat banyak isi yang enak pada harga yang berpatutan.

Ketahui lebih banyak tentang Durian Golden Phoenix

Jenis Durian #8 Golden Phoenix

Name Durian Kampung / 888 / Asli
Kod 888
Tarikh Pendaftaran N/A
Asal Usul Gugusan Kepulauan Melayu

Durian Kampung adalah baka asli durian yang ditemui di serata gugusan kepulauan Melayu tetapi ditanam secara komersial di Perak, Pahang, Kedah, Kelantan. Kulit Durian Kampung 888 mempunyai pelbagai jenis daripada bentuk bulat hinggalah lonjong dengan warna hijau hinggalah hijau keperangan. Isinya mempunyai tekstur seperti kastard, berwarna kuning susu hingga jingga dan terdapat biji bersaiz penuh atau separa penuh. Isinya agak padat dan rasanya ke arah rasa manis seperti vanila. Biasanya digunakan dalam penghasilan lempok, tempoyak, jem dan aiskrim kerana harganya yang jauh lebih murah jika dibandingkan dengan durian premium yang lain.

Ketahui lebih banyak tentang Durian Kampung